Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, UMNO perlu dikalahkan lebih teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, berbanding kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, masa untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah berlalu walaupun satu masa dahulu parti itu yang ditubuhkan di istana besar di Johor pernah mencipta sejarah.
“Itu UMNO dahulu sekarang UMNO sudah koyak rabak, UMNO sekarang sudah tidak berupaya lagi, nampak ok tapi dalaman penuh bermacam-macam barah, (penyakit) rasuah, salah guna kuasa dan bermacam-macam lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh PRN Johor
di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, Mersing, malam ini.
Turut hadir Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.
Muhyiddin berkata, UMNO sebenarnya adalah parti yang kalah di peringkat Pusat serta negeri dan mereka kembali berkuasa selepas Bersatu serta PN bantu untuk kembali ke tampuk pemerintahan.
“Kalau ada yang kata Johor kubu kuat UMNO…podah, dia sudah kalah dulu,” ujar bekas Perdana Menteri itu.
Beliau mendakwa, idea pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN Johor adalah daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum mahu meneruskan agenda menguasai kerajaan Pusat pada PRU-15.
Menurutnya, beliau sudah mengetahui akan ada PRN sebelum DUN dibubarkan lagi walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana pembangkang tetap menyokong kerajaan negeri Johor walaupun hanya mempunyai kelebihan satu kerusi.
“Saya tengok tidak ada masalah walaupun dengan majoriti satu kerusi. Saya lihat di Johor luar biasa kerana pembangkang pun sokong kerajaan negeri, bukan sahaja sokong Balanjawan Johor 2022 tapi sokong belia 18 tahun bertanding sebagai calon pilihan raya,” katanya.
Apabila mahu membubarkan DUN kata Muhyiddin, Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad langsung tidak berbincang dengannya
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN mempunyai agenda besar untuk rakyat Johor sekiranya menang PRN Johor dan pengundi perlu memilih gabungan tersebut untuk masa depan yang cerah untuk negeri itu.
“Sebab itu slogan kita untuk PRN Johor ialah demi Bangsa Johor. PN akan usaha sedaya upaya mungkin bantu supaya Johor jadi negeri yang cemerlang dan gemilang. Rakyat Johor yang maju dan disegani,” katanya.
Tambah beliau, semua calon PN akan dipastikan bersih dan tidak terlibat rasuah atau salah guna kuasa dan mereka akan mengangkat sumpah Aku Janji Anti-Rasuah seperti yang dilakukan pada PRN Melaka.
PN katanya, mahu menubuhkan kerajaan yang bersih dan sebab beliau tidak bertanding dalam PRN Johor kerana mahu menumpukan usaha di peringkat Pusat dan jika PN menang PRU-15 berhasrat menjadi Perdana Menteri semula.
Leave a Reply