PRU-15: Siti Kassim tanding di Parlimen Batu

Gerak Independent (GERAK) mengumumkan kumpulan pertama calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kawasan akan ditandingi mereka.

GERAK ialah inisiatif bersama yang diketuai Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (MAJU) dengan NGO lain bagi mendesak calon bebas menjadi Ahli Parlimen pada PRU-15. Gerakan itu sebelum ini mengumumkan enam calon bebasnya untuk PRU15.

Enam calon itu adalah peguam hak asasi manusia dan aktivis Siti Kasim, bekas Ahli Parlimen UMNO di Sungai Benut Tawfik Ismail, bekas wartawan Charles CJ Chow, penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam, aktivis KJ John dan peguam di Sabah Roland Cheng.

Kawasan akan ditandingi mereka adalah Siti Kasim (Batu), KJ John (Petaling Jaya), Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju), Charles CJ Chow (Subang) dan Roland Cheng (Kota Kinabalu), lapor portal Free Malaysia Today.

Tawfik tidak mengesahkan kerusi mana beliau akan bertanding, tetapi memberi bayangan kemungkinan di Langkawi, Pagoh, Ampang, Mersing dan Simpang Renggam.

Ditanya kenapa GERAK menyasarkan kerusi dikuasai pembangkang, Siti berkata, gerakan itu mahu bersaing di “tempat kurang berprestasi di mana katak berkembang”.

Siti berkata, GERAK akan meletakkan kira-kira 10 calon untuk PRU15.

“Kami sedang mengenal pasti calon lain dan akan mengumumkan nama mereka kemudian,” katanya dalam sidang media hari ini.

GERAK berkata, ia terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti lain atau individu “sehaluan” untuk meneruskan perjuangannya, dalam usaha menjadikan negara ini lebih adil kepada semua.

Orang ramai boleh melihat profil calon di aplikasi mudah alih GERAK (Gerak App), demi meningkatkan komunikasi antara rakyat dan calon bebas.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *