MOTIF pembunuhan seorang wanita yang ditetak leher hingga putus oleh anak tirinya di Kampung Dalam Senduk, Jerek, Gua Musang, Kelantan petang semalam kini dalam siasatan polis.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek yang tampil menyerah diri di Balai Polis Bertam sejurus selepas kejadian pada pukul 4.55 petang itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Februari.
Beliau berkata, tangkapan sudah dibuat semalam dan siasatan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu kurang siuman dan ketika kejadian dia berada di bawah pengaruh dadah.
Justeru katanya, polis akan membuat siasatan lanjut untuk mengetahui motif kejadian sama ada terdapat salah faham atau mempunyai perasaan tidak puas hati.
“Kita percaya ia mungkin turut membabitkan kes antara keluarga,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam media melaporkan seorang wanita berusia 54 tahun ditemukan mati dengan keadaan leher putus dipercayai dibunuh oleh anak tirinya menggunakan parang.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya manakala senjata yang digunakan juga dijumpai di lokasi.
Terdahulu, Shafien hadir di perumahan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di Kampung Terbak di sini, melawat empat pegawai dan anggota polis yang cedera diserang lelaki kurang siuman dalam kejadian malam Sabtu lalu.
Leave a Reply