BERMULA esok, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi akan mengumumkan bilangan kes harian Covid-19.
Sebaliknya, Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata perkembangan kes COVID-19 negara akan dimaklumkan pada jam 10 pagi, hari berikutnya.
Langkah tersebut, jelas Khairy untuk memastikan keseluruhan data dapat diperincikan dengan lebih menyeluruh.
“Ia akan dimaklumkan bersama data-data yang lain pada pukul 10 pagi keesokan hari. Ini adalah supaya dapat baca data kes harian bersama dengan data-data lain seperti kemasukan kes hospital dan sebagainya.
”Ini untuk kita mengurangkan ‘fear factor’ kes harian dan ia perubahan budaya. Berhenti melihat kepada (kes harian), tetapi kita melihat bersama dengan semua data,” katanya dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini lapor Astro Awani.
Khairy berkata, perincian matrik dan data dapat membantu rakyat memahami keadaan sebenar mengenai situasi Covid-19.
Beliau seterusnya berkata, KKM memberi jaminan bahawa segala persiapan dan persediaaan yang rapi telah dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan gelombang varian Omicron.
Katanya, walaupun berlaku peningkatan kes harian Covid-19 dan bilangan kemasukan ke hospital, tetapi vaksin menunjukkan keberkesanan yang amat baik dalam melindungi individu daripada jangkitan yang lebih teruk.
“Sebab itulah sehingga hari ini, kita hanya menyaksikan sedikit peningkatan dalam bilangan kemasukan ke ICU dan juga kes kematian akibat Covid-19. Bilangan kemasukan ke ICU dan kematian akibat Covid-19 adalah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding pelaporan pada Ogos tahun lalu walaupun bilangan kes pada ketika ini adalah lebih tinggi,” katanya.
Leave a Reply