MASJID Nur As-Sa’adah Kampung Pengkalan Batu di Melaka, menyediakan 40 basikal yang akan dihadiahkan kepada kanak-kanak yang menunaikan solat berjemaah selama 40 hari di masjid itu menerusi Program Istiqamah Subuh 40 Hari.
Pengerusi masjid Datuk Amzah Osman berkata inisiatif berkenaan yang dijalankan sejak awal bulan ini bertujuan memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak di dalam kariah itu sebagai usaha melahirkan generasi berakhlak serta berdisplin, selain menyuburkan nilai-nilai murni.
“Program ini bertujuan menjadikan tempat ibadah ini mesra kanak-kanak, sekali gus mengimarahkannya. Kami rasa seronok melihat perkembangan positif di masjid ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Melaka, hari ini.
Beliau berkata pada hari persekolahan, ramai kanak-kanak hadir ke masjid lengkap berpakaian sekolah untuk menunaikan solat Subuh dan setiap mereka diberikan kad yang akan dicop sebagai tanda hadir bersolat jemaah.
Katanya program itu melibatkan kos sekitar RM20,000, dan sejak dilaksanakan kehadiran generasi muda di Masjid Nur As-Sa’adah dilihat semakin bertambah, terutama pada hujung minggu bagi mengikuti tazkirah, kelas pengajian agama dan ceramah.
Sementara itu Amzah berkata pihak masjid juga menyediakan Gerobok Rezeki untuk kemudahan golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan barangan keperluan.
Menurutnya sehingga kini terdapat 64 penerima setiap bulan yang datang mengambil barangan diperlukan seperti beras, gula, kopi, lampin pakai buang dan sebagainya.
“Mereka diberi kad untuk memilih 24 barangan yang disediakan di sini secara percuma. Dana bantuan ini juga hasil sumbangan daripada dermawan dan orang perseorangan,” katanya yang berharap usaha itu menjadi ikutan kepada masjid lain.
— BERNAMA
Leave a Reply