Rumah jadi makmal dadah

POLIS menyerbu sebuah rumah yang dipercayai digunakan sebagai makmal memproses dadah oleh sindiket pengedaran yang aktif sejak Jun tahun lalu, di Meru Raya, Ipoh, Perak

Kegiatan sindiket itu terbongkar susulan beberapa operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Perak dengan kerjasama Bukit Aman.

Harian Metro melaporkan, hasil serbuan, polis menahan enam lelaki dan merampas dadah jenis heroim seberat 9.42 kilogram (kg), serta 1.14 kg syabu dengan nilai keseluruhan RM167,268.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata semua suspek berusia antara 21 hingga 39 tahun ditahan melalui lima serbuan sekitar Perak dan Negeri Sembilan, pada Ahad dan Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan modus operandi digunakan sindiket adalah dengan menjadikan rumah sebagai makmal untuk memproses dadah.

“Selain rampasan heroin dan syabu, kita turut merampas bahan kimia dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Hasil maklumat, heroin dan syabu yang diproses sindiket ini adalah untuk pasaran tempatan, yang mana jumlah dadah dirampas boleh menampung keperluan 52,800 penagih,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, semua suspek direman enam hari bermula Isnin lalu hingga 19 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, saringan awal mendapati dua suspek positif dadah jenis ganja dan opiate, dengan semuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Selain rampasan dadah, tindakan juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sitaan pelbagai aset milik sindiket yang dianggarkan bernilai RM181,500, meliputi lima kenderaan serta dua barangan kemas.

“Justeru nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM348,768 dan kita akan teruskan usaha mengesan saki-baki anggota sindiket ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *