
PENGUNDI yang berada di luar Johor dirayu pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini demi menyelamatkan negeri itu daripada parti politik yang tamak kuasa.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, mereka perlu menyedari bahawa setiap undi dibuang adalah bernilai untuk menentukan wakil rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, sudah semestinya rakyat Johor mahukan sebuah pentadbiran mampu menjanjikan kestabilan politik dan bukan kepada parti yang gagal mengurus negara.
“Buktikan anda adalah pengundi-pengundi di luar negeri yang bersedia untuk menyelamatkan Johor daripada parti-parti politik yang rakus, tamak kuasa, pangkat dan harta.
“Mereka (Barisan Nasional dan UMNO) telah gagal urus negara dan menghampakan penduduk negeri Johor pula.
“Kuasa telah ada pada mereka tapi sebab nak kuasa monopoli, mereka sanggup cadangkan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Leave a Reply