DPT Fuziah

PKR dakwa ada nama pengundi mati dalam DPT 2021

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa agar memberi penjelasan segera berhubung integriti data Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi 2021 yang diwartakan baru-baru ini.

Gesaan itu dibuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas mendakwa terdapat data mencurigakan pada nama-nama pengundi yang mendaftar.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, semakan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak mengenai kekeliruan yang terdapat dalam data dikeluarkan SPR.

Katanya, beliau menerima pelbagai aduan dari unit data parti-parti Pakatan Harapan (PH) berhubung data yang pelik-pelik sebagai pengundi, sebagai contoh meninggal dunia dan tamat tempoh sebagai nama pemilih.

”Jadi, saya sendiri telah membuat semakan pemilih di laman sesawang SPR menggunakan sampel nombor kad pengenalan daripada DPT tersebut. Ternyata aduan berkenaan adalah benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan mempersoalkan ketelusan SPR dalam mengendalikan data berkenaan dan meminta pihak SPR segera membekalkan daftar pemilih itu bagi tujuan semakan.

Menurut beliau, tindakan SPR seolah-olah ingin melengahkan usaha PKR dan parti pembangkang lain mendapatkan DPT itu turut menimbulkan pelbagai persoalan.

“Adakah data itu mempunyai kesilapan atau mereka (SPR) memang tidak mahu parti pembangkang membeli daftar terbabit?

“SPR diminta membuat kenyataan terbuka mengenai isu berkenaan kerana ia membabitkan kredibiliti suruhanjaya itu,” ujarnya.

Fauziah turut mendakwa sehingga kini SPR gagal membekalkan senarai DPT itu sedangkan data tersebut sudah diperakui SPR pada 14 Januari lalu dan terbaharu pada 7 Februari lalu.

Malah, dakwanya PH juga masih tidak dibenarkan membeli senarai berkenaan.

“SPR telah mengeluarkan senarai harga Daftar Pemilih Induk (DPI) 2021 untuk seluruh negara dan memaklumkan ia sudah sedia untuk dibekalkan kepada semua parti politik.

“Namun, masalahnya sehingga sekarang kami belum boleh membeli senarai (DPT) terbabit, jadi apa sebenarnya alasan mereka (SPR) atas kegagalan membekalkan senarai berkenaan selepas lebih sebulan ia diwartakan,” ujar beliau.

Sementara itu Fuziah berkata, sebelum ini SPR menyediakan Rang DPT secara percuma dan dipamerkan kepada orang awam.

“Kalau daftar (pemilih) tambahan ini dikhuatiri kesahihannya, bagaimana SPR boleh mewartakan data berkenaan dan adakah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini akan dikompromi keputusannya,” katanya.

Fuziah juga turut mempersoalkan tindakan SPR, bagaimana suruhanjaya itu boleh mewartakan data lebih 5.8 juta pengundi yang dikhuatiri kesahihannya.

Ini kerana katanya, situasi itu akan menjejaskan keputusan PRN Johor tidak lama lagi.

“Adakah PRN Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac depan akan dikompromi keputusannya kerana terdapat penyelewengan pada daftar pemilih yang telah diwartakan?” soal beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *