Pejuang Johor Sabah

Pejuang rayu rakyat Johor tolak pihak yang angkuh

PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu semua pengundi termasuk yang tinggal di luar Johor supaya menggunakan peluang keemasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahawa mereka tidak bertolak ansur dengan pihak yang menyalahgunakan kuasa secara angkuh.

Memetik laporan BH, beliau berkata, PRN Johor tidak terhad kepada rakyat di negeri tersebut sahaja.

Mukhriz memberitahu, PRN Johor sangat diperhatikan rakyat Malaysia kerana ia bakal memberi impak besar kepada suasana politik negara kerana dikatakan Dewan Rakyat segera dibubar jika Barisan Nasional (BN) menang dua pertiga.

Menurut beliau, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat bakal mendedahkan seluruh negara kepada penularan COVID-19 sewaktu sebahgian besar rakyat berdepan cabaran menyara keluarga.

“Saya sangat mengharapkan seramai mungkin rakyat Johor keluar mengundi, itu satu perkara sangat penting, kalau peratusan keluar mengundi tak lebih 65 peratus, kita boleh agak siapa menang.

“Tetapi kalau melebih 70 ke 75 peratus, saya rasa akan berlaku satu perubahan ke arah kebaikan bagi rakyat Johor, malah rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya, hari ini.

Pejuang akan bertanding 42 daripada 56 kerusi pada PRN Johor secara solo, tanpa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan sama, Mukhriz menambah, Pejuang menawarkan sebuah kerajaan negeri yang penyayang, yang komited mencari penyelesaian kepada keperluan rakyat daripada aspek sosial, ekonomi dan pendidikan.

Menurut beliau, tawaran itu selari dengan kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang prihatin terhadap keperluan mereka dan benar-benar membela nasib rakyat.

Kata Mukhriz, rakyat juga mahukan sebuah kerajaan yang tidak sibuk bermain politik kerana ia tidak mendatangkan manfaat buat mereka.

“Tawaran Pejuang (di Johor) ialah sebuah kerajaan penyayang.

“Sebuah kerajaan penyayang bermaksud apa juga keperluan rakyat baik dari sosial, pendidikan dan ekonomi, kita kena betul-betul cari satu penyelesaian yang memberi impak kepada rakyat secara positif,” jelasnya.

Beliau berkata, Pejuang turut memberi keutamaan untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi Johor yang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun dua tahun berturut-turut akibat pandemik COVID-19.

Jelasnya, masalah sama turut dihadapi negeri lain tetapi Johor menerima kesan lebih ketara apabila pergerakan antara Johor dan Singapura sangat terhad menyebabkan bukan sahaja pelancong tidak dapat masuk, malah ada 200,000 pekerja rakyat Johor tidak boleh balik seperti biasa.

“Jadi perbelanjaan mereka sekarang semuanya di Singapura dan negara itu dapat nikmat. Tetapi impak negatifnya dirasai peniaga-peniaga di Johor dan secara keseluruhannya ekonomi Johor agak terjejas.

“Ada beberapa perkara lain akan diberi perhatian juga tetapi saya kira kalaulah dapat kita selesaikan masalah ekonomi ini, ia akan ada kesan (positif) kepada aspek lain kehidupan rakyat Johor,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *