TINDAKAN seorang lelaki menyamar dan mengaku sebagai anggota polis dengan menghantar rakaman video yang menunjukkan sepasang gari dengan niat menakutkan seorang lelaki membawa padah apabila mangsa membuat laporan polis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai merakam video tersebut dengan niat untuk menakutkan mangsa serta meminta mangsa menghormatinya ekoran masalah yang dihadapi mereka sebelum ini berkaitan isu rumah sewa.
Jelas beliau, suspek berusia 30-an berasal dari Sungau Petani, Kedah itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
“Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman serta sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (Menyamar sebagai penjawat awam) yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 (Memiliki peralatan polis tanpa kebenaran) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihati agar tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai seorang penjawat awam kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan dari sudut undang-undang,” katanya.
Leave a Reply