Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menafikan ada mengeluarkan kenyataan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) menolak pencalonan Dr. Maszlee Malik sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang Layang.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Muda menjelaskan kenyataan tersebut adalah palsu dan dibuat mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Harap semua pihak media tidak melaporkan kenyataan palsu ini. Kenyataan rasmi Muda akan dikongsi kami sendiri terus kepada pihak media,” menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan tersebut tular dalam media sosial yang memaparkan satu kepala surat dengan logo PH dan Muda menolak pencalonan Dr. Maszlee di kerusi DUN Layang Layang.
Menerusi kenyataan palsu tersebut yang bertarikh 15 Februari turut disertakan nama Setiausaha DAP Johor, Chen Kah Eng, Naib Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz.
Kelmarin, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas Menteri Pendidikan diumumkan sebagai calon kerusi tersebut bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan zon tengah.
Leave a Reply