Oleh MOHAMAD AZAM MOHD.ATAN
RAMAI yang anggap, buat apa sibuk dengan simpanan hari tua dalam KWSP sedangkan ketika ini keadaan lebih serius dan memerlukan wang bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Ada juga yang fikir kerajaan tidak perlu halang penyimpan untuk mengeluarkan duit mereka sendiri kerana belum tentu panjang umur untuk merasai duit itu kelak. Tapi apa akan berlaku sekiranya pencarum KWSP panjang umur dan memerlukan wang pada usia tua, yang pada waktu sudah tidak mampu bekerja?
Sebenarnya, kerajaan sudah membuat keputusan tepat untuk tidak membenarkan lagi pengeluaran wang daripada KWSP. Rasionalnya banyak dan antaranya kerajaan sudah membenarkan pengeluaran melalui i-Lestari dan i-Citra.
Pada waktu itu keputusan dibuat kerana keadaan benar-benar runcing apabila sektor ekonomi terpaksa ditutup dan ramai yang tidak dapat mencari rezeki. Bahkan ketika itu, varian Covid-19 cukup bahaya dan sudah mengorbankan banyak nyawa.
Berbeza dengan keadaan waktu ini apabila kebanyakan rakyat sudah boleh kembali bekerja dan ekonomi sedang pulih perlahan-lahan.Kerajaan juga telah menyediakan banyak bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti moratorium pinjaman dalam skim URUS.
Jika dibuat perhitungan, banyak kemudaratan terutama dalam sudut ekonomi Malaysia memandangkan KWSP adalah antara pelabur terbesar dalam pasaran saham.
Oleh sebab itu, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah pemimpin UMNO, beliau pun tidak dapat membenarkan pengeluaran berkenaan meskipun desakan itu datang daripada partinya sendiri.
Ramai yang dapat menghidu niat sebenar kumpulan pendesak yang diketuai ‘kluster mahkamah’ iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak yang beria-ia mahu pengeluaran dilakukan.
Ia tidak lain tidak bukan hanyalah mahu meraih sokongan rakyat yang sebelum ini tidak menyokong mereka disebabkan isu integriti yang terpalit melibatkan mereka berdua.
‘Kluster mahkamah’ UMNO yang dibantu Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yakin apabila pengeluaran sekali lagi wang KWSP berjaya dibuat, ia akan dapat membentuk momentum sokongan pengundi atas pagar pada PRU15.
Mereka akan menjaja bahawa hanya UMNO mampu membela rakyat dalam keadaan susah dan mereka yakin ia dapat memadamkan segala isu integriti yang melibatkan pemimpin UMNO. Malah, jika Zahid dan Najib dalam kedudukan Ismail Sabri ketika ini, mereka pun akan buat keputusan yang sama tidak membenarkan pengeluaran i-Citra buat kali kedua.
Oleh itu, berhati-hatilah dengan setiap strategi kluster UMNO untuk kembali mendapat tampuk kuasa kerana apa yang dilakukan mereka, pasti ada agenda tersembunyi.
Seperti pepatah Inggeris “Too good to be true”.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply