SEKURANG-kurangnya 10 nelayan maut dan 11 lagi dilaporkan hilang apabila sebuah kapal pukat tunda dari Sepanyol karam dalam laut bergelora di timur Kanada, semalam.
Keadaan cuaca yang buruk menyebabkan peluang dilihat semakin tipis untuk menemui mangsa terselamat dalam insiden berkenaan.
Menurut pegawai, ada 24 kru di atas kapal terbabit ketika ia karam kira-kira 250 batu nautika timur Newfoundland, dan usaha diteruskan untuk mencari serta menyelamat baki mangsa meskipun berdepan kekangan cuaca buruk sekaligus akan memungkinkan usaha tersebut menemui kegagalan.
Setakat ini Pusat Koordinasi Penyelamatan Bersama Kanada (JRCC) memaklumkan tujuh mayat telah ditemui, manakala tiga mangsa berjaya diselamatkan – dari sebuah bot kecemasan di Atlantik.
” JRCC Hfx mengesahkan tiga lagi mayat ditemui dalam insiden kapal nelayan yang karam berkenaan,” kata pusat itu.
Usaha menyelamatkan berhadapan kesukaran memandang cuaca buruk meliputi laut yang sangat bergelora disertai angin kencang serta jarak penglihatan terhad.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila hari beransur gelap dengan suhu menurun dan boleh mengurangkan peluang menyelamatkan mangsa terselamat.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Sepanyol memaklumkan kru kapal berkenaan terdiri daripada 16 warga Sepanyol, lima rakyat Peru dan tiga warganegara Ghana.
Kapal nelayan dikenali sebagai Villa de Pitanxo itu yang berukuran 50 meter dan berpangkalan di sebuah pelabuhan di Galicia membuat dua panggilan kecemasan pada jam 5.24 pagi di Madrid.
Lima jam kemudian, sebuah lagi kapal nelayan Sepanyol yang berada di kawasan terbabit mengesan dua bot kecemasan dengan sebuah daripadanya membawa tiga mangsa terselamat dan beberapa mayat.
Anggota penyelamat kemudian menemuikan empat lagi mayat.
“Tiga mangsa terselamat berada dalam keadaan kejutan hipotermia berikutan suhu air laut yang sangat dahsyat,” kata wakil kerajaan pusat Sepanyol di wilayah Galicia, Maica Larriba.
Mangsa yang terselamat dibawa keluar menggunakan sebuah helikopter pengawal pantai Kanada, sementara anggota penyelamat turut menemui dua lagi bot kecemasan yang kosong.
“Kejayaan tiga mangsa ditemui terselamat dalam sebuah bot kecemasan, memberi sinar harapan berkemungkinan mangsa lain dapat mengambil langkah sama ketika kapal itu karam,” kata Brian Owens daripada JRCC kepada agensi berita antarabangsa.
Leave a Reply