Bersatu gesa lokasi program KPT diubah

Oleh RAHIMI MOHAMAD

LANGKAH Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan mengadakan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat bermula esok dilihat tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Ini kerana, program yang dijangka dihadiri ramai pengunjung itu dibimbangi akan menjadi punca kepada penularan kes Covid-19 yang kini semakin tinggi dan memberi kesan kepada pelajar di situ.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Sulong, Hamidon Aris berkata, mereka menyambut baik usaha menganjurkan karnival itu yang membuka peluang kepada anak muda sekitar Johor dan Melaka.

“Kami difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan karnival ini pada hari Jumaat ini.

“Kami juga mendapat tahu, maklumat mengenai karnival ini telah disebar secara meluas melalui institusi pengajian tinggi dan institut pengajian vokasional di sekitar Johor dan Melaka.

“Tetapi, kami mendapati lokasi karnival ini, iaitu di MRSM Batu Pahat tidak sesuai disebabkan kita sedang berhadapan dengan penambahan kes jangkitan Covid-19, terutama kategori Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut hebahan, karnival tersebut akan bermula esok sehingga Sabtu mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang dengan perasmian akan dilakukan Perdana Menteri pada Jumaat.

Kata Hamidon, pada masa sama, pelajar-pelajar yang kini berada di MRSM Batu Pahat juga adalah mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Kami bimbang penganjuran karnival ini berpotensi menyebabkan merebaknya Covid-19 kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

“Oleh itu, kami mendesak supaya karnival ini dipindahkan ke satu lokasi lain yang tidak menjejaskan anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *