Warisan pula cuba nasib di Johor

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SELEPAS Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kini sebuah lagi parti turut mengumumkan akan bertanding.

Kali ini, Parti Warisan Sabah (Warisan) pula mengesahkan akan meletak calon mereka pada pilihan raya itu susulan pelancaran parti itu di negeri ini, sebentar tadi.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang memaklumkan perkara itu ketika berucap berkata, tidak ada salahnya jika kerajaan yang baharu datangnya daripada sebuah parti yang diasaskan di Sabah.

“Sudah tiba masanya kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik, negara ini bukan milik satu kaum sahaja tetapi sebaliknya semua kaum. Jika pemimpin UMNO boleh datang dari Bagan Datuk, pemimpin PKR boleh datang dari Permatang Pauh, jadi apa salahnya jika kerajaan Warisan datang dari Sabah,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Negeri Johor.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong serta Koordinator Johor, Datuk Sunther Subramaniam dan Wong Siew Poh.

Menurut Mohd. Shafie, Warisan bukan sahaja mahu bertanding PRN Johor dan menubuhkan kerajaan negeri, tetapi juga mahu tubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Saya telah bekerjasama dengan semua pemimpin politik di negara ini, ketika bersama UMNO selama lebih 30 tahun, saya bekerja bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain.

“Kemudian enam tahun ketika bersama Pakatan Harapan (PH), saya juga telah bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, jadi saya tahu dan kenal mereka semua.

“Saya yakin Warisan adalah pilihan terbaik buat masyarakat negara ini dalam menubuhkan kerajaan yang akan membela mereka, kita mahu tubuhkan kerajaan,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *