Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG pesakit mental bertindak melulu apabila menumbuk dan menendang bapa tirinya setelah warga emas tersebut enggan memberikannya wang untuk membeli dadah.
Menurut Ketua Polis Daerah Yan, Superitendan Shahnaz Akhtar Haji, kejadian di Kampung Ruat, Yan, Kedah itu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi dengan suspek yang berusia 29 tahun dikatakan masuk ke rumah lalu meminta duit untuk membeli dadah daripada bapa tirinya berumur 72 tahun.
Katanya, mangsa dikatakan enggan mengikut kehendak anak tirinya itu menyebabkan suspek menjadi marah lalu menumbuk belakang kepala sebelah kiri warga emas berkenaan.
“Selepas ditumbuk, suspek duduk di luar rumah bersama isterinya. Suspek bagaimanapun tiba-tiba mendekati mereka berdua lalu menendang belakang warga emas tersebut dengan memakai kasut getah.
“Susulan itu mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Yan. Pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan antaranya bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk suspek,” katanya,
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek merupakan pesakit mental dan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Difahamkan anak tiri pengadu merupakan penagih tegar dan sering memukul mangsa sekiranya warga emas tersebut enggan memberikan duit kepadanya untuk membeli dadah.
Shahnaz menambah, suspek kemudiannya ditahan kira-kira pukul 6.45 petang tadi di Lubuk Boi, Yan.
“Siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012,” katanya.
Leave a Reply