JENTERA pilihan raya Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dilancarkan di Kota Tinggi pada 18 Februari ini.
Memetik laporan Harakahdaily, semua pemimpin utama parti-parti komponen PN dijangka menghadiri majlis pelancaran jentera tersebut.
Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata,Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai merupakan antara pemimpin yang dijangka hadir.
Menurut beliau, majlis pelancaran itu akan memperhebatkan momentum gerak kerja pilihan raya semua parti dalam PN yang sebenarnya sudah dimulakan.
“Walaupun belum sah lagi di kawasan mana kita akan bertanding, penyusunan dan gerak kerja seluruh jentera PAS sudah dimulakan,” katanya yang juga Naib Pengerusi PN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala hari mengundi awal adalah 8 Mac. Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.
Abdullah menambah, Jabatan Pilihan Raya PAS Johor juga membuat pemantauan terhadap jentera pilihan raya parti setiap hari, termasuk pergi ke kawasan untuk mendengar taklimat dan memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan lancar.
Buat kali pertama di PRN Johor, katanya hanya akan ada pusat operasi PN dan tiada lagi pusat operasi mengikut parti seperti dalam PRN Melaka.
“Perkara ini sudah diputuskan di peringkat pusat. Kita bersetuju kerana pusat operasi secara berasingan dari segi gerak kerja kurang berkesan, berbanding jika kita bergabung.
“Atas dasar semangat setiakawan PN, sesiapa pun yang bertanding di sesuatu kawasan, kita sejak awal sudah sedia bekerja memastikan calon PN berjaya,” katanya.
Mengulas pengagihan kerusi dan kawasan ditandingi dalam PRN Johor, katanya perkara itu belum 100 peratus selesai.
“Perundingan berjalan dengan baik dan ini membabitkan pimpinan peringkat pusat, cuma belum dimuktamadkan kerana masa masih panjang,” katanya.
Leave a Reply