SEBUT sahaja nama Marina Ibrahim, pasti ramai penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang mengenali pemimpin muda DAP itu.
Selain memiliki paras rupa yang menarik, beliau bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di kawasan tersebut, lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dahulu.
Beliau juga sentiasa bertemu dengan orang ramai dalam usaha mempopularkan dirinya sebagai salah seorang pemimpin muda Melayu dalam DAP yang dilihat lebih didominasi kaum Cina.
Maka, tidak hairanlah jika timbul spekulasi bahawa beliau mungkin dicalonkan untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi menamatkan penguasaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di DUN Layang-layang.
Namun, jangkaan itu meleset sama sekali apabila Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang baru sahaja melompat masuk PKR pula yang naik jadi calon.
Berbeza dengan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis yang ‘meroyan’ apabila kerusi DUN Puteri Wangsa disedekahkan kepada Muda, Marina nampaknya bersikap tenang dengan perkembangan di DUN Layang-layang.
Cuma, ada juga penyokongnya yang meluahkan kekecewaan dalam media sosial apabila Marina diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada Maszlee yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor dari PH.
Kalau hendak dibandingkan antara Marina dengan Maszlee memang jauh bezanya, umpama langit dengan bumi. Ramai yang melihat Marina mempunyai pakej yang lengkap untuk diketengahkan sebagai calon PH di DUN Layang-layang.
Malangnya keputusan yang pahit telah dibuat dan Marina serta para penyokokngnya terpaksa menerima apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PH dengan hati pasrah.
Mungkin juga beliau akan dicalonkan di kerusi DUN lain atau bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tidak mustahil juga beliau akan kekal berada di bangku simpanan dan hanya diperlukan sebagai ‘pelaris’ untuk menarik minat golongan muda khususnya orang Melayu untuk menyertai DAP dan PH.
Dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Orang yang buat kerja dengan penuh istiqamah dan komited dipinggirkan, tetapi orang lain yang rekod prestasinya tidak seberapa pula yang dijulang.
Leave a Reply