Dzulkefly Ahmad

Hasrat BN hidupkan KMK langkah ke belakang, galakkan rasuah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGUMUMAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mahu menghidupkan semula skim kuota menegak kerajaan (KMK) jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai langkah ke belakang.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu juga dilihat tidak berintegriti dan mengalakkan budaya rasuah.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu berkata, ini kerana skim KMK sudah dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 selepas didapati terdapat banyak salah laku dan ketidakadilan.

“Skim KMK ini dimansuhkan kerana skim ini terdedah kepada elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa di mana akhirnya Rumah Mampu Milik ini tidak sampai kepada kumpulan sasarannya iaitu golongan B40.

“Sebagai contoh pernah berlaku sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Gelang Patah bersama-sama rakan wanitanya terlibat dalam penipuan tawaran Rumah Mampu Milik Johor yang melibatkan ratusan ribu ringgit.

“Melalui skim KMK ini akhirnya Rumah Mampu Milik bukan dimiliki kumpulan sasaran khususnya golongan B40 tetapi dimiliki oleh pimpinan politik parti UMNO, MCA dan MIC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasni yang juga Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Johor Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri pada malam semalam, berhasrat menghidupkan semula skim KMK.

Menurut Hasni yang juga Menteri Besar Johor, KMK akan memberikan peluang perumahan kepada semua masyarakat jika menang PRN Johor.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, semasa kerajaan PH memerintah Johor sudah memperkenalkan sistem pengagihan Rumah Mampu Milik yang lebih telus bermula 1 Ogos 2018.

Jelasnya, pengagihan Rumah Mampu Milik dilakukan secara undian terbuka kepada mereka yang layak dengan semua proses permohonan pembelian kediaman tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *