Guru rogol 13 pelajarnya dihukum penjara seumur hidup

SEBUAH mahkamah di Bandung hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada seorang guru kerana merogol 13 pelajarnya.

Hukuman itu dijatuhkan ketika kes penderaan seksual di sekolah berasrama penuh agama menjadi perhatian.

Mahkamah Daerah Bandung di Jawa Barat mendapati Herry Wirawan bersalah merogol 13 pelajar perempuan, yang kesemuanya di bawah umur, malah sekurang-kurangnya lapan daripada mereka, mengandung.

Semasa perbicaraan itu, terbongkar kisah dia merogol kanak-kanak itu yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga miskin yang bersekolah sejak lima tahun itu.

Ia terbongkar apabila keluarga seorang pelajar perempuan melaporkan Wirawan kepada polis kerana merogol dan menghamilkan anak perempuan remaja mereka tahun lalu.

Pendedahan itu turut mencetuskan kemarahan negara, dengan seorang pegawai kanan kerajaan berkata, Presiden Joko Widodo sendiri memberi perhatian khusus terhadap kes itu.
Wirawan, 36, tiba di mahkamah dalam keadaan bergari dan menundukkan kepalanya ketika hakim Yohannes Purnomo Suryo Adi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Dia bagaimanapun meminta hakim meringankan hukuman kerana mahu membesarkan anak-anaknya.

Mahkamah juga berkata, pampasan untuk mangsa akan dibayar oleh kerajaan.

Hari ini terdapat lebih 25,000 pondok agama dikenali pesantren di seluruh Indonesia, dengan hampir lima juta pelajar tinggal dan belajar di asrama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *