PAS perlu mengajar parti dan orang politik yang bongkak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebelum ini, PAS berkempen dengan penuh keikhlasan membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PN memberitahu, ketika itu, PAS bersungguh-sungguh membantu kempen BN dengan mengarahkan para ahli dan penyokongnya mengundi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Namun, Ahmad Fadhli mendakwa, ada pihak tertentu yang mendakwa PAS tidak ikhlas berkawan dengan mereka.
“Saya tak nak sebut nama siapa, tapi inikah nilai sebuah persahabatan? Inikah cara kamu menilai sebuah persahabatan?” katanya seperti dipetik daripada laporan Malaysiakini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menambah, Johor adalah tempat berkumpulnya beberapa pemimpin BN yang mengeluarkan kenyataan tajam sehingga melukakan hati PAS dan PN.
“Maka sampai masanya kita kena ajar orang yang bongkak. Bukan semuanya, tidak,” katanya lagi.
Beliau juga yakin Pakatan Harapan (PH) tidak akan memenangi PRN Johor.
“Dalam situasi yang ada pada hari ini […] PH tak boleh menang. PH sudah menjadi pakatan yang tak ada harapan,” katanya.
Hubungan PAS dan UMNO ketika ini agak panas, lebih-lebih lagi menjelang PRN Johor yang dijadualkan pada 12 Mac.
Pemimpin kedua-dua parti sering melancarkan kecaman terbuka terhadap satu sama lain sekali gus menjadikan hubungan yang terjalin dalam Muafakat Nasional (MN) semakin renggang.
Leave a Reply