MENTERI Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Manila kini sedang membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk memasuki Filipina.
“Wisma Putra juga sedang berurusan dengan agensi berkaitan bagi memudahkan proses ini berjalan lancar,” kata beliau dalam hantaran Facebook, hari ini.
Saifuddin mengulas tentang insiden 15 individu dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila sejak semalam apabila imigresen Filipina enggan mengiktiraf sijil vaksinasi yang dikeluarkan melalui aplikasi MySejahtera.
Memetik laporan The Star, kesemua mereka tidak dibenarkan memasuki negara itu, pasport dirampas dan berkemungkinan besar akan dihantar pulang ke Malaysia esok.
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan pukul 8.30 pagi semalam.
Seorang penumpang yang meminta identitinya dirahsiakan berkata, tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa imigresen Filipina kerana mereka tidak menerima sijil MySejahtera sebagai bukti vaksinasi yang sah.
Sementara itu, berhubung perkembangan membimbangkan krisis Russia dan Ukraine, beliau memberitahu, Wisma Putra sedang memantau perkembangan semasa di Ukraine, terutamanya mengenai keselamatan 20 warga Malaysia yang berdaftar, termasuk 2 pelajar, 9 kakitangan Kedutaan dan ahli keluarga mereka bagi memastikan keselamatan serta memberikan bantuan konsular jika diperlukan.
“Wisma Putra menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine dan masih belum berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kyiv untuk menghubungi dan berdaftar dengan Kedutaan dengan kadar segera.
“Semua rakyat Malaysia di Ukraine dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya terhadap keselamatan mereka serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.
Singapura telah mengarahkan rakyatnya keluar dari Ukraine secepat mungkin manakala Jepun mula memindahkan kakitangan diplomatiknya dari negara tersebut.
Leave a Reply