Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh lagi calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan zon utara.
PKR menampilkan empat muka baharu iaitu C. Subramani bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Yoong Thau (DUN Pemanis); Azmi Masrani (DUN Sri Medan) dan Abdullah Sahid (DUN Sungai Balang).
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar kekal mempertahankan kerusi DUN Semerah yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Md. Ysahruddin Kusni jug kekal di kerusi DUN Bukit Naning yang disandangnya dan menempatkan Na’im Jusri yang sebelum ini bertanding di Sungai Balang ke kawasan DUN Gambir.
Pengumuman tersebut dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pelican Hotel, Kim’s Park Business Centre di sini malam ini.
Sementara itu, ketika nama Mohd. Khuzzan disebut, terdapat sedikit kekecohan daripada penyokong PKR yang hadir ke majlis pengumuman itu dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan pencalonannya.
Anwar sebaliknya meminta keputusan tersebut dihormati dan menasihatkan Mohd. Khuzzan agar menyantuni isu tersebut untuk diselesaikan secara baik.
“Kita sudah buat keputusan, hormat keputusan. Saya harap Khuzzan ambil iktibar supaya menyantuni sesiapa yang kurang berpuas hati, saya ingat ini perkara biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Khuzzan ketika ditemui berkata, ini.meruapakan kali kedua beliau berhadapan dengan situasi itu sama seperti ketika diumumkan sebagai calon pada PRU-14 lalu.
“Ini kali kedua (menerima protes), pilihan raya umum lepas juga begini. Tetapi, saya menyerahkan kepada masyarakat dan pemilih untuk memilih. Ini cuma sebahagian sahaja tetapi masih ramai lagi yang menyokong.
“Bagi mereka yang memprotes tadi, saya akan pastikan dapat mengukuhkan semula hubungan sesama anggota parti untuk memastikan kemenangan kerusi DUN Semerah pada PRN akan datang,” katanya.
Terdahulu pada sebelah petang, Anwar turut mengumumkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik sebagai calon di kerusi DUN Layang-Layang.
Leave a Reply