AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran Facebook beliau malam ini.
“Saya yakin kemampuan beliau untuk terjemah aspirasi parti serta membawa suara dan kehendak rakyat keseluruhan,” katanya.
Sebelum ini, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor.
Walau bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan oleh pucuk pimpinan PH.
DUN Layang-layang merupakan salah satu kerusi di dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon BN, Datuk Onn Hafiz Ghazi menang tipis di kerusi DUN berkenaan dengan memperoleh hanya 364 majoriti.
Beliau menewaskan calon PKR, Cikgu Murugan dan calon PAS, Haji Jubri.
Onn Hafiz yang juga anak saudara Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka bertanding mempertahankan kerusi tersebut.
Setakat ini, sukar dijangka peluang Maszlee untuk memenangi kerusi DUN Layang-layang.
Rekod prestasi beliau yang kurang cemerlang sewaktu menjadi Menteri Pendidikan dahulu pasti memberi kesan terhadap jumlah undi yang bakal diterima.
Selain itu, rakyat Johor masih belum pulih daripada trauma yang dialami akibat hidup menderita semasa era pemerintahan rejim PH selama 22 bulan dahulu.
Faktor tersebut sedikit sebanyak menjejaskan peluang Maszlee untuk menjadi Menteri Besar Johor yang pertama dari PKR, sekiranya beliau dan PH menang.
Leave a Reply