SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia di bawah runtuhan lantai bilik tidurnya di Kuching, petang semalam.
Kejadian menimpa lelaki berkenaan yang berusia 58 tahun dipercayai sudah berlaku beberapa hari lalu.
Insiden tersebut disedari abang mangsa setelah beberapa hari gagal menghubunginya sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Pihak polis kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak pada pukul 2.56 petang untuk meminta bantuan.
Menurut jurucakap bomba, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi di Star Garden.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati lantai bilik tidur yang terletak di tingkat satu telah runtuh dan terdapat seorang lelaki berumur 58 tahun berada di bawah runtuhan berkenaan.
“Pihak bomba membongkar timbunan peralatan dalam runtuhan tersebut dan berjaya menemui mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lepas.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut setelah operasi selesai pukul 4.28 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Leave a Reply