Oleh RIZQI ZABIDI
KESTABILAN politik negara hanya dapat diwujudkan dengan kesatuan antara semua pihak tanpa ada sikap untuk mendominasi, mahu pun menguasai kebersamaan yang telah dimeterai.
Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, selain itu semua pihak perlu mengelak daripada melakukan tindakan bersifat ekstrem, melampau, merugikan rakyat dan negara atau menyeleweng daripada kerangka Perlembagaan mahu pun keluhuran undang-undang.
Dalam masa sama katanya, kalangan pemimpin terdiri daripada orang politik pula perlu fokus bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat menerusi mandat diberikan, hingga tamat penggal.
“Itu yang perlu dilakukan dan bukannya menimbulkan keresahan serta suasana politik tegang dengan mengisytiharkan Pilihan Raya Negeri (PRN), lalu bertanding sendirian meninggalkan rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Kedah telah membentangkan contoh baik yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada usaha mewujudkan kestabilan politik seperti dinyatakan Pengarah Pilihan Raya Pas Kedah itu dalam siri ceramahnya di Johor baru-baru ini.
“Walaupun UMNO hanya memiliki dua kerusi mewakili Barisan Nasional (BN) di Kedah, tetapi jumlah sedikit itu tidak pernah diperkecilkan. Seorang daripada mereka malah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
“Agihan turut diberi dalam jawatan di peringkat Ahli Majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Keterbukaan itu adalah bukti ketelusan kerjasama sekali gus membantu memacu pembangunan Kedah serta kesejahteraan terhadap rakyatnya tanpa hiruk-pikuk politik,” katanya.
Tambahnya, tindakan itu selari dengan langkah Kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggabungkan parti-parti didukung dan mewakili masyarakat majmuk pelbagai latar belakang di seluruh negara.
“Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pembangkang juga demi mewujudkan kestabilan politik demi menjaga kepentingan rakyat dan negara. Jika itu model dan pendekatan yang dibuat, mengapa pula kuasa yang dipegang sendiri, digugat dan dirungkaikan?
“Tindakan sedemikian membuka lebih peluang kepada bahaya yang sedia menerkam. Malah itu adalah tindakan tidak matang bagi memanipulasi demokrasi, bagi mencari lebihan penguasaan atau dominasi ke arah melunaskan kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Leave a Reply