SERAMAI 15 individu dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila sejak semalam apabila imigresen Filipina enggan mengiktiraf sijil vaksinasi yang dikeluarkan melalui aplikasi MySejahtera.
Memetik laporan The Star, kesemua mereka tidak dibenarkan memasuki negara itu, pasport dirampas dan berkemungkinan besar akan dihantar pulang ke Malaysia esok.
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan pukul 8.30 pagi semalam.
Seorang penumpang yang meminta identitinya dirahsiakan berkata, tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa imigresen Filipina kerana mereka tidak menerima sijil MySejahtera sebagai bukti vaksinasi yang sah.
“Penumpang-penumpang dalam penerbangan yang sama tetapi divaksinasi di Singapura atau United Kingdom dibenarkan memasuki negara itu tetapi mereka yang divaksinasi di Malaysia tidak dibenarkan masuk.
“Pasport kami telah dirampas dan kami diberitahu akan dihantar pulang.
“Memandangkan tiada hotel yang kosong, kami terpaksa tidur di atas bangku atau lantai,” kata penumpang berkenaan.
Dia menambah, imigresen Filipina memaklumkan bahawa mereka perlu divaksinasi di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Seramai 13 penumpang terbabit merupakan rakyat Malaysia manakala dua lagi dari negara lain.
Mereka ke Filipina atas tujuan perniagaan, urusan peribadi dan bantuan kemanusiaan.
Penumpang terbabit memberitahu, Duta Besar Malaysia ke Filipina datang sendiri untuk bertemu dengan mereka.
Mereka juga amat menghargai usaha beliau sedaya-upaya membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Kami dimaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Filipina telah mengemukakan rayuan untuk pengiktirafan vaksinasi secara timbal balik Khamis lalu (10 Februari) tetapi masih tiada maklum daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Negara Filipina.
“Mereka berusaha sedaya upaya berunding dengan pihak imigresen bersama dengan pasukan Malaysia Airlines tetapi tidak berjaya dan kini, semua rakyat Malaysia terkandas,” jelasnya.
Imigresen Filipina juga bertegas bahawa Kedutaan Besar Malaysia mesti menunggu sehingga pagi hari ini untuk berurusan dengan Kementerian Luar Filipina untuk mendapatkan kelulusan.
“Kami rasa kecewa kerana tidak dibenarkan masuk ke negara ini. Kami bimbang akan dihantar pulang. Jika itu berlaku, ia akan menjadi sangat mengecewakan kerana kami datang dari jauh.
“Kami berharap kerajaan Malaysia dapat membantu kami memasuki Filipina,” katanya.
Filipina mula membuka sempadannya kepada pengembara yang telah menerima vaksinasi penuh sejak 10 Februari lalu.
Leave a Reply