haniza talha PBM PRN Johor

PRN Johor: Calon PBM mesti lulus ujian antirasuah

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan memastikan calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, lulus Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG) seperti yang disyorkan #RasuahBusters.

Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha berkata, ini selaras dengan aspirasi pengundi yang mahukan pemimpin bersih dan bertanggungjawab, selain arahan parti itu juga seiring enam teras digariskan #RasuahBusters.

“Johor akan menjadi pilihan raya pertama PBM dan kami mahu calon kami bersih dan bebas rasuah, supaya mereka boleh menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab sekiranya mereka menang,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya berkata, langkah itu, bukan sahaja dapat meningkatkan integriti semua calon yang berpotensi, tetapi juga membantu mewujudkan pemimpin yang lebih baik.

Pada Khamis lepas, Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid dilaporkan berkata parti itu akan bertanding dua kerusi pada PRN itu, yang akan diumumkan sebelum hari penamaan calon nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan penamaan calon pada 26 Feb, manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *