Oleh RIZQI ZABIDI
Dua beradik meninggal dunia selepas kedua-duanya dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi, petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.45 petang apabila bapa k mereka yang dikenali sebagai Jamaludin, 36, ternampak anak-anaknya berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang.
“Melihat keadaan itu, Jamaludin mengangkat kedua-dua anaknya iaitu Nizambudin, 4, dan Ngei, 2, ke rumah jiran. Ketika itu, mulut kedua-duanya didapati berbuih.
“Dalam beberapa minit, didapati anak-anaknya sudah tidak bernafas. Sehubungan itu penduduk kampung menghubungi pihak polis bagi melaporkan mengenai kejadian itu,” katanya.
Shariman menambah, siasatan awal mendapati Jamaludin yang berasal dari Myanmar bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja-kerja kampung.
“Mereka tiada rumah tetap dan hanya menumpang di rumah jiran. Kanak-kanak yang meninggal dunia itu dipercayai memakan sisa makanan di tong sampah berhampiran,” katanya.
Katanya, pengesahan kematian kedua-dua anak Jamaludin dibuat oleh kakitangan Hospital Sultanah Maliha (HSM).
“Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Unit Forensik HSM untuk saringan ujian Covid-19 sebelum dibedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Leave a Reply