Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TIMBALAN Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman tidak menumpang populariti bapanya, Allahyarham Datuk Osman Sapian untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya yakin dengan pengalaman dimiliknya.
Beliau menganggap, pengaruh bapanya hanya sebagai kelebihan buatnya selain percaya masyarakat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempasn khususnya penyokong bekas Menteri Nesar Johor itu akan memberi sokongan kepadanya.
“Keyakinan saya bukan sekadar cakap-cakap kosong sebaliknya bersandarkan atas pengalaman dimiliki dalam bidang korporat dan juga latar belakang politik.
“Saya bukan baharu sahaja melibatkan diri dalam kancah politik menerusi Pejuang, sebaliknya pernah bersama-sama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Kayuhan Sehati Sejiwa Remaja Jelajah Kempas 2022 melibatkan jarak kayuhan sejauh 30 kilometer di sekitar Kempas, Johor Bahru, hari ini.
Nornekman sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding di DUN Kempas dan masih menunggu keputusan muktamad daripada pucuk pimpinan Pejuang berkenaan pembahagian 42 kerusi yang akan ditandingi parti tersebut.
DUN Kempas sebelum ini disandang Allahyarham Osman sebelum meninggal dunia pada 21 Disember lalu namun tiada pilihan raya kecil (PRK) diadakan.
Anak sulung Osman itu berkata, hasrat untuk menjadi wakil rakyat adalah bagi meneruskan kerja-kerja arwah bapanya yang masih belum selesai kerana meninggal dunia ketika masih berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Ada banyak dokumen dan urusan rasmi yang masih tertangguh dan saya tidak mampu selesaikan atas kapasiti peribadi, sebaliknya saya perlu diberi peranan lebih besar selaku wakil rakyat mereka,” katanya.
Berhubung program tersebut, beliau berkata, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, tujuan diadakan untuk memberi hebahan kepada masyarakat khususnya pengundi baharu.
“Pada PRN Johor ini, dijangka seramai 750,000 pengundi baharu akan terlibat dengan majoriti daripadanya merupakan generasi muda, jadi hebahan adalah perlu kerana masih ramai diantara mereka belum tahu hak mereka dalam menentukan kerajaan.
“Jadi kami mahu memberikan mereka kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab itu dan juga pentingnya membuat pilihan terbaik dalam menentukan wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Walaupun senarai nama calon masih belum dimuktamad, pihaknya berharap diberi peluang untuk menjadi calon bagi DUN Kempas mewakili Pejuang dalam PRN Johor.
Leave a Reply