SEORANG pengasuh kepada bayi perempuan berusia 10 bulan ditahan kelmarin kerana disyaki mencederakan bayi terbabit di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bentong.
Wanita berusia 26 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di bandar Bentong kira-kira pukul 12.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, hasil siasatan awal, suspek telah menarik telinga mangsa dan menyebabkan kecederaan ringan di telinga kiri bayi terbabit pada 8 Februari lalu.
“Mangsa dirujuk ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Pusat jagaan itu juga didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Ujarnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Februari dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memastikan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang memiliki kelulusan,” tambahnya lagi.
Leave a Reply