Anggota Kastam akan dipasang kamera badan Jun ini

BAGI menangani kes salah laku dalam kalangan anggota dan penguat kuasanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka memulakan pemasangan kamera badan melibatkan anggota bertugas pada Jun ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, pemasangan kamera melibatkan seluruh anggota dan pegawai JKDM yang bertugas di lapangan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana membabitkan peruntukan besar.

Ini kerana katanya, kamera berkenaan bukan hanya digunakan untuk penguat kuasa, ia juga melibatkan pegawai yang bertugas terutama mereka yang berada di barisan hadapan (frontliner) seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan sempadan negara.

“Dijangkakan lebih 100 anggota kastam termasuk penguat kuasa akan terlibat dalam pemasangan kamera badan untuk fasa pertama,” katanya pada Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Corporate Social Responsibility) JKDM Terengganu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) hari ini.

Sebelum ini, Penguat kuasa JKDM disaran supaya memakai kamera pada badan sebagai inisiatif menangani kes salah laku dalam kalangan kakitangan agensi berkenaan.

Selain meningkatkan lagi integriti pasukan, ia turut dilihat dapat membantu dijadikan bukti kepada anggota kastam yang kerap dituduh terbabit dalam aktiviti rasuah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *