Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEMUA 56 calon Perikatan Nasional (PN) akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dipastikan bersih dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kes-kes mahkamah.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini termasuk tiada mempunyai rekod atau masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau yang juga Setiausaha Agung PN berkata, perkara itu penting kerana tidak mahu calon bermasalah bertanding dalam PRN itu.
Jelas beliau, semua mereka akan melalui proses tapisan ketat sebelum disenaraikan sebagai calon PRN tersebut.
“Kita akan pastikan calon-calon daripada semua parti komponen diteliti semua rekod mereka, sama ada pernah terlibat dengan kegiatan jenayah, kes mahkamah atau ada masalah dengan LHDN.
“Lepas itu baru kita umumkan secepat mungkin, mungkin minggu depan. Pembahagian kerusi akan dilakukan selepas kita mendapat kepastian (jawapan) daripada agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Chong Fat Full yang juga
Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Pusat dan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Datuk Abdull Bakar Ali.
Berkenaan pembahagian kerusi PN, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, proses itu masih belum dimuktamadkan kerana terdapat pertukaran kerusi pada saat akhir.
Berkenaan dakwaan Pas tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi, beliau berkata, perkara itu sekadar khabar angin dan kebenarannya hanya diketahui pihak yang menyebarkan cerita tersebut.
Leave a Reply