Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERIKATAN Nasional (PN) melahirkan keyakinan akan menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus memberi tamparan dan menundukkan pihak yang angkuh serta tamak kuasa.
Pengarah PRN Johor PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keyakinan itu juga kerana rakyat Johor mahukan kerajaan yang bersih, berintigriti, prihatin serta tidak menyusahkan mereka.
“Rakyat akan bersama-sama kita untuk membuktikan bahawa kita adalah yang lebih baik bagi mencapai kemenangan yang besar pada PRN Johor ini sekali gus mengulangi kejayaan PRN Sabah.
“Bukan hanya di Johor, bahkan PN akan bangkit untuk tentukan masa depan rakyat di negeri ini. Saya lihat sambutan hari ini cukup luar biasa, jika UMNO tak takut saya tak tahulah, katanya.
Setiausaha Agung PN itu berkata demikian ketika berucap dalam Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.
Hamzah berkata, ketika ini tumpuan harus diberikan terhadap usaha untuk memenangkan calon PN dan tidak timbul lagi persoalan mengapa perlu mengadakan PRN Johor.
“Isu siapa punca Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan lagi isu penting kerana sudah dibubarkan. Yang penting adalah untuk pastikan kuasa itu akan kembali kepada PN,” katanya.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, sudah sampai masa untuk PN membuktikan sebagai pasukan yang selama ini tunduk dan diam untuk bangkit memberi tentangan habis-habisan.
Katanya, ada sesetengah pihak hanya pandai mengkritik PN dan parti komponennya tetapi tidak sedar bahawa mereka yang mendatangkan masalah di Johor.
“Saya tahu kita akan capai kemenangan, kita akan buktikan kepada mereka yang angkuh, sombong dan tamak kuasa bahawa rakyat tidak mahu lihat mereka sebaliknya mahu kumpulan yang prihatin seperti PN.
“PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa beranggapan seluruh rakyat harus dibantu dan keprihatinan ini telah dibuktikan beliau semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.
“Kalau rakyat mahukan pemimpin yang memberi bantuan dan prihatin, berilah kemenangan yang besar buat PN. Ini adalah jihad rakyat demi membantu perjuangan parti,” ujarnya.
Leave a Reply