PEMUDA PKR Sabah mendesak parti itu membatalkan kerjasama dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan memberi tumpuan memperkukuhkan jentera serta kerusi yang akan ditandingi mereka pada (PRN) Johor bulan depan.
Desakan itu disuarakan kerana Muda didakwa bersikap biadab terhadap mereka, menjelang pilihan raya negeri tersebut.
Antara contoh kebiadapan Muda yang diberikan Ketua Penerangan Pemuda PKR, Razeef Rakimin dalam kenyataannya mengenai desakan ini semalam ialah sikap Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuat naik status bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Tiram, S. Gopalakrishnan tidak beramanah dalam Facebooknya.
Beliau dalam kenyataan itu berkata, status itu dimuat naik ketika rundingan kerusi antara Muda dan PH, tetapi ia kini dipadam beserta permohonan maaf dari Syed Saddiq.
“Ketika PKR sudah memberi tiga kerusi dan menunggu maklum balas Muda untuk terima, sekali lagi Muda memaparkan kebiadaban terhadap Pakatan Harapan (PH),” katanya merujuk poster Hentikan Korupsi tertera lambang PKR serta PH yang dimuat naik ke laman sosial Muda Kedah dan Johor.
Beliau berkata, dengan meletakkan logo PKR dan PH pada poster itu seolah-olah menunjukkan mereka menerima dan memberi rasuah.
Terdahulu, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long memohon maaf atas catatan tentang rasuah menampilkan bendera PH dan PKR yang dimuat naik Muda Kedah kerana catatan itu tidak mendapat kebenaran serta sengaja dibuat dengan niat tidak baik.
Razeef berkata, lebih baik parti komponen PH memberi tumpuan memperkukuhkan jentera serta kerusi yang akan ditandingi mereka dalam PRN Johor.
“Kita ada maruah dan tidak perlu serahkan kerusi kepada sebuah parti yang menghina PKR. Adakah ini politik yang cuba dibawa Muda kepada golongan muda, terutama dalam usaha menarik pengundi muda setelah pelaksanaan Undi18?” soalnya.
Berhubung kerusi Puteri Wangsa yang diserahkan kepada Muda, Razeef berkata, selepas PKR dan Amanah bertegang urat, akhirnya kerusi itu diserahkan kepada Amanah atas semangat setiakawan.
Tetapi, katanya, amat mengejutkan apabila Amanah dengan mudah menyerahkan kerusi yang berpotensi dimenangi PH itu kepada Muda.
“Selepas penghinaan dilakukan terhadap PH, adakah Amanah masih tunduk kepada Muda dan menghalalkan kerusi dimenangi sebelum ini dengan majoriti lebih 24,000 undi?
“Jika semasa rundingan kerusi sedang berjalan mereka boleh bersikap sebegini, bagaimana pula bila mereka telah mendapat kerusi? Fitnah apa lagi mereka akan tabur kepada PKR dan PH?” soalnya lagi.
Semalam, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh mengumumkan parti itu menawarkan tiga kerusi kepada Muda untuk bertanding dalam PRN Johor, tetapi tidak menyatakan kerusi mana.
Amanah dan DAP pula bersetuju menyerahkan enam kerusi kepada Muda untuk ditandingi, dengan salah satunya adalah Puteri Wangsa yang dilihat kerusi paling berpotensi untuk dimenangi memandangkan PH menang di kawasan itu selama dua penggal.
Leave a Reply