Pejuang umum calon PRN Johor 24 Februari ini

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan memperkenal semua 42 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dua hari sebelum penamaan calon yang dijadualkan pada 26 Februari ini.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, seramai 42 calon Pejuang sedang dimuktamadkan ketika ini dengan acara memperkenal semua mereka akan dibuat dua hari sebelum penamaan calon.

“Pejuang akan menampilkan calon yang bersih, cekap dan amanah. Malah, semua 42 calon kami akan menjalani ujian psikometrik bagi menunjukkan kesungguhan untuk menampilkan calon terbaik dan berintegriti.

“Pada acara pengenalan calon barulah semuanya akan didedahkan termasuk peratusan calon muda, lelaki dan wanita,” katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pejuang PRN Johor di Taman Universiti, Skudai Johor Bahru malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh.

Sebelum ini Pejuang mengumumkan untuk bertanding solo menggunakan logo parti itu, selain mahu bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Dalam pada itu, Mukhriz tidak menolak kemungkinan akan menampilkan wajah Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam bahan kempen termasuk poster pada PRN Johor.

“Tun M tak bertanding di Johor. Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benarkan gambar pemimpin parti ditampilkan dalam poster dan bahan kempen.

“Tun M masih disayangi rakyat. Tak salah imej beliau dipaparkan dalam kempen PRN Johor,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *