TEKA-TEKI kedudukan Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Ulama Pas terjawab, apabila kepimpinan parti telah menarik balik jawatan yang disandang Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Memetik laporan Harian Metro, ia berlaku selepas hampir sebulan Mohd Khairuddin digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.
Ketika mendedahkan perkara tersebut, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pengguguran jawatan Mohd Khairuddin berkuat kuasa semalam, hasil keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Pas.
Menurut Abdul Hadi, keputusan dibuat berikutan masalah disiplin bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu.
Katanya, disebabkan perlantikan Mohd. Khairuddin dalam Majlis Syura Ulama dibuat oleh Jawatankuasa Pas Pusat, maka Pas Pusat membatalkan perlantikan tersebut.
“Beliau kini tak jadi Ahli Majlis Syura Ulama, maka kalau nak jadi Setiausaha Majlis Syura Ulama mestilah daripada Ahli Majlis Syura, maka gugurlah beliau daripada Majlis Syura dan Setiausaha Majlis Syura.
“Beliau sekarang hanya ahli biasa dan pemecatan dibuat kerana masalah disiplin dan kita akan melantik individu lain bagi mengisi kekosongan itu,” katanya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila, Marang hari ini.
Sebelum ini Mohd. Khairuddin digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas pusat selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan tersebut.
Leave a Reply