
Oleh RIZQI ZABIDI
ANGIN tak ada, ribut lagilah tak ada. Tetapi entah siapa-siapalah yang memandai-mandai buat cerita kononnya politik di Kedah ini bergolak.
Orang di Kedah ini hakikatnya tenang-tenang saja, selesa menjalani kehidupan di bawah pemerintahan ‘sempoi’ Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang terus menunjukkan keberhasilan. Namun adalah juak-juak berkepentingan yang membuat onar dengan mendakwa terdapat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan berpaling tadah bagi menarik sokongan terhadap Muhammad Sanusi.
Hakikatnya perkara itu tidak wajar dilayan pun kerana tiada asas kukuh untuk diperdebatkan. Kestabilan politik yang ada di Kedah pada hakikatnya tidak menggambarkan kewajaran untuk mana-mana pihak mengusahakan agar dilaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.
Ketika dihubungi Warta Rakyat baru-baru ini, seorang daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Kedah, Datuk Suraya Yaacob menganggap cakap-cakap mengenai pergolakan politik di Kedah hanyalah satu bentuk provokasi yang tidak perlu diambil pusing.
“PRN yang diadakan di negeri-negeri lain sebelum ini diadakan kerana tidak terdapat kestabilan politik di sana. Di Johor misalnya, kerajaan cuma memiliki kelebihan 1 majoriti sampaikan nak buat apa pun tak boleh, sebab itu perlu ada PRN.
“Tetapi di Kedah ini apa benda yang tidak stabil? Pembangkang di Kedah ada 13 kerusi manakala di pihak kerajaan ada 23 kerusi dengan 15 daripadanya dikuasai Pas. Jadi apa yang tak stabil?” Soalnya.
Justeru kata Ketua Penerangan UMNO Kedah itu, semua pihak seharusnya lebih bijak bertindak untuk tidak menari mengikut gendang dipalu golongan tertentu.
“Bagi saya ini semua provokasi daripada pihak yang memiliki kefahaman salah mengenai kestabilan politik yang ada di Kedah,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, ada pula pihak yang mengaitkan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kedah baru-baru ini sebagai ‘petanda’ kononnya akan berlaku PRN di negeri ini.
Walhal dalam lawatan kerja itu, Perdana Menteri bersama Muhammad Sanusi cukup mesra duduk bersebelahan bagi melancarkan Bandar Raya Getah Kedah (KRC) di Padang Terap, yang bakal menjadi ‘game changer’ kepada pembangunan ekonomi negeri ini.
Malah pertemuan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO bersama Jawatankuasa Biro Politik UMNO Bahagian seluruh Kedah sehari sebelum itu, tidak langsung membincangkan mengenai penarikan sokongan terhadap Muhammad Sanusi atau perancangan mengadakan PRN di Kedah dengan perkara tersebut disahkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz.
“Saya sahkan bahawa perkara mengenai penarikan sokongan atau PRN tidak langsung berbangkit dalam pertemuan itu. Tiada pihak yang mendesak untuk diadakan PRN malah perbincangan lebih kepada hal dalaman parti termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Isu penarikan sokongan dan PRN ini bagi saya cuma ditimbulkan oleh golongan tertentu yang mahu ‘test market’. Mungkin juga pembangkang yang menimbulkannya kerana mereka mahu mengalihkan pandangan orang ramai terhadap kelemahan mereka di Johor,” katanya.
Leave a Reply