SEORANG penunggang motosikal maut selepas tersepit di tayar belakang sebuah lori kontena di Jalan Sungai Buloh menghala Damansara Damai, Sungai Buloh, hari ini.
Kemalangan tersebut membabitkan lori kontena dengan sebuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 8.16 pagi.
“Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Penunggang motosikal terbabit dikenali Danial Imran Kamarolzama berusia 31 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.
Norazam berkata, anggota bertindak membawa keluar mangsa menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ dan jentera lain.
“Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Leave a Reply