Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
TAKTIK dan modus operandi sindiket penipuan kini semakin licik apabila dengan berani menggunakan nama Ketua Polis Pahang bagi memperdayakan mangsanya.
Ini terbukti apabila dalam kejadian terbaharu yang dikesan sindiket tersebut didapati telah menggunakan nama jawatan tertinggi polis di negeri itu sebagai modus operandi mereka.
Justeru, Polis Pahang menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik dan modus operandi berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, taktik itu dikesan selepas mendapat satu notis tangkapan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui telefon bimbitnya pada malam Rabu.
Bagaimanapun katanya, polis tidak pernah mengeluarkan sebarang surat arahan berhubung perkara itu temasuk notis kehadiran suspek mahu pun memo dalaman yang ditandatanganinya.
Beliau terkejut apabila mendapati notis itu (tangkapan) yang mengandungi nama dan tanda tangan beliau, sebelum beliau turut berkongsi kepada semua ketua polis negeri-negeri agar lebih berhati-hati.
“Surat itu dipercayai dibawa oleh seseorang untuk diberikan kepada orang yang dikenali atau dikehendaki polis sebagai satu notis khas.
“Saya yakin dan percaya perbuatan ini dilakukan individu yang menyamar sebagai polis untuk diberikan kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ramli, notis palsu tersebut dijadikan sebagai dokumen sebenar bagi tujuan penipuan dan ugutan untuk mendapatkan wang.
Ujarnya, notis palsu itu turut mengandungi butiran lengkap seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan, alamat, nombor fail kes serta perlu memperkenalkan diri daripada Ibu pejabat Polis kontijen Pahang.
Menurutnya, beliau yakin dengan kaedah menyamar sebagai polis dan menggunakan notis membuat tangkapan mampu menakut-nakutkan mangsa yang kononnya mereka akan diberkas.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya merujuk kepada balai polis berdekatan, jika menerima sebarang notis penangkapan daripada polis.
Leave a Reply