
SEJAK dari mula kewujudannya dalam arena politik tanah air, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mempunyai peranan yang signifikan sebagai pembangkang selain daripada ‘kacau daun’.
Sifat ‘kacau daun’ itu semakin terserlah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Setelah gagal dalam usaha mendapatkan sebarang kerusi pada PRN Melaka dahulu, kali ini Muda yang baru setahun jagung diberi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi.
Dalam masa beberapa jam selepas perkara itu diumumkan semalam, sudah timbul suara tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Johor tentang pengagihan kerusi kepada Muda.
Salah seorang daripada mereka ialah Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan yang kecewa apabila Parti Amanah Negara (PAN) menyedekahkan kerusi DUN Puteri Wangsa yang dahulunya milik PKR kepada Muda.
Memang beliau berhak berasa kecewa kerana selama ini jentera PKR yang dikatakan berhempas-pulas berkempen di kawasan itu dan mereka bersedia menyokong calon dari PAN.
Tiba-tiba, Muda pula yang dapat kerusi DUN Puteri Wangsa. Tidak dapat dibayangkan betapa remuk-redamnya semangat jentera PKR apabila terpaksa menelan situasi yang kelat lagi pahit itu.
Sama ada jentera PKR akan membantu kempen calon Muda atau tidak, kita tidak tahu apa kesudahan drama ini.
Yang pasti, selain daripada Syed Saddiq, pemimpin-pemimpin Muda yang lain tidak dikenali oleh sebahagian besar pengundi.
Keadaan itu menyebabkan jentera yang berkempen untuk calon Muda di Puteri Wangsa dan lima kerusi DUN yang lain terpaksa bekerja lebih keras untuk memancing undi.
Tambahan pula, Syed Saddiq sendiri sedang berdepan kes mahkamah berkaitan dana milik Bersatu yang didakwa berlaku ketika beliau menjadi Ketua Armada dahulu.
Sedikit sebanyak, kes tersebut akan mencalarkan reputasi Muda dalam kalangan pengundi di kawasan-kawasan calon parti itu bertanding.
Lagi pun, Muda bukan sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan lebih cenderung memihak kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.
Maka tak hairanlah apabila Napsiah dalam luahan melalui laman Facebook miliknya semalam turut meragui kesetiaan Muda.
Melihat kepada suasana tidak harmoni yang dicetuskan oleh Muda, tidak mustahil apa yang dihadapi PH pada PRN Melaka akan berulang di Johor.
Kegagalan pemimpin PH menangani Muda yang dianggap sebagai ‘kacau daun’ boleh menyebabkan penyokong pakatan pembangkang itu menolak calon-calon mereka di kerusi-kerusi panas pada 12 Mac nanti.
Pemimpin PH khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuat pilihan sama ada mahu melayan kerenah Muda yang manja dan kebudak-budakan atau membalas kesetiaan akar umbi mereka sendiri.
Leave a Reply