KETUA Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long hari ini memohon maaf atas sebuah poster kontroversi yang dikeluarkan Penerangan Muda Kedah malam semalam.
Poster kontroversi yang tular itu dikatakan dihasilkan Penerangan Muda Kedah yang menunjukkan karakter empat individu memakai baju dengan warna rasmi parti politik – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Perikatan Nasional (PN).
Empat karakter itu dipotretkan bersebelahan antara satu sama lain, dengan masing-masing menghulurkan objek yang menggambarkan aktiviti rasuah kepada satu sama lain iaitu wang dan kontrak.
Turut tertera ialah ialah mesej yang berbunyi – ‘Hentikan korupsi, Undi dan ubah persepsi’.
Menurut Luqman, pihaknya menyedari poster itu telah menimbulkan salah faham dan tidak mematuhi prinsip jelas dalam parti.
Beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden tersebut.
“Sebagai langkah ke hadapan, saya telah mengambil keputusan untuk menggantung Penerangan Muda Kedah dari sebarang aktiviti berkaitan Muda.
“Ini sama sekali tidak menafikan bahawa kekhilafan dari pihak saya telah mengeruhkan hubungan yang baik antara Muda dan rakan-rakan pembangkang yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Luqman mendakwa, perbincangan bersama-sama Penerangan Muda Kedah mendapati bahawa ‘posting’ itu juga tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.
“Aku ambil tanggungjawab atas kesalahan yang dibuat tengah malam semalam. Posting itu tidak mencerminkan prinsip Muda dan telah mengeruhkan hubungan dengan kawan-kawan Pembangkang.
“Aku akan serahkan kepada Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.
Leave a Reply