SATU sindiket menggodam telefon pintar dengan menggunakan pautan fail ‘android package kit’ (APK) dikesan polis yang sehingga kini lima kes dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM58,844.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan pautan fail APK yang mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.
Menurut beliau, polis menerima tiga laporan di Johor, masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Sabah, lapor Sinar Harian.
“Siasatan mendapati, sindiket menggunakan Facebook untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen bertujuan menjerat mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut akan menghubungi sindiket melalui WhatsApp dan kemudian diberikan pautan fail APK sebelum diarah memuat turun aplikasi itu di telefon pintar.
Mohd. Kamarudin memberitahu, setelah selesai dimuat turun, aplikasi itu akan menggantikan sistem mesej pesanan ringkas (SMS) sedia ada.
“Mangsa akan diarahkan mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi tersebut.
“Maklumat yang diperlukan untuk pendaftaran itu adalah nama, nombor kad pengenalan, emel, butiran kad kredit dan butiran perbankan dalam talian,” katanya.
Menurutnya, setelah semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar,namun paparan ‘page error’ akan ditunjukkan kerana aplikasi itu tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.
“Hakikatnya, pemasangan aplikasi dan proses ‘pendaftaran’ yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang kemudian akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa,” katanya.
Kamarudin berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jangan memuat turun fail APK yang dihantar ke telefon pintar daripada individu yang tidak dikenali atau sumber tidak sah.
“Tindakan memasang aplikasi SMS dari sumber yang mencurigakan perlu dielakkan.
“Orang ramai boleh menghubungi CCID Response Center di talian 03-26101559/ 0326101599 untuk mendapatkan nasihat lanjut,” katanya.
Leave a Reply