PAKATAN Harapan (PH) mahu kerajaan mempertimbangkan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan pada 12 Mac depan.
Ini ekoran gelombang varian Omicron yang semakin memuncak dengan kes baharu Covid-19 mencecah 17,134 jangkitan semalam.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan menegaskan, penangguhan itu perlu dilakukan bagi memastikan keadaan sedemikian tidak diperalatkan untuk tujuan politik.
Bagaimanapun, Majlis Presiden PH berkata, kempen secara terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan sekiranya kerajaan enggan menangguhkan PRN Johor.
“Majlis Presiden memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam.
“Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti di negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.
“Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Mengulas lanjut, Majlis Presiden juga telah memutuskan bahawa PH akan menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ untuk menghadapi PRN Johor.
Katanya, tawaran berkenaan merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermula kempen.
“Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” jelasnya.
Leave a Reply