MUSUH sebenar yang dihadapi Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja parti lawan bahkan sifat-sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin UMNO yang ternyata telah merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berharap ahli dan pemimpin parti tersebut tidak terpedaya dengan sebarang bentuk imbuhan keduniaan yang ditawarkan oleh kumpulan pecah integriti itu.
Kenyataan penuh beliau hari ini adalah seperti berikut:
Perikatan Nasional semakin mendapat sokongan dan kepercayaan kumpulan atas pagar serta pengundi baharu dan Undi 18 kerana menyakini prinsip-prinsip perjuangan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berteraskan integriti serta sistem nilai, mampu membawa pembaharuan dalam era kemajuan ini kepada negara.
Sokongan dan sikap itu dizahirkan apabila mereka menjadi sebahagian audian yang menghadiri ceramah Siri Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) serta Parlimen serta pelbagai program sejak kebelakangan ini.
Terkini, pejabat bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menerima banyak borang permohonan daripada ketiga-tiga kumpulan itu untuk menyertai parti manakala yang lain tampil menyatakan sokongan kepada Bersatu serta Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Mereka turut menyertai pelbagai platform media sosial untuk menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional dan memberi komen positif kepada teks yang dimuat naik pemimpin Perikatan Nasional dan ini membuktikan mereka menyenangi kepemimpinan parti.
Perkembangan ini menunjukkan akar umbi mempunyai keyakinan tinggi kepada visi kepemimpinan Perikanan Nasional yang menawarkan elemen, prinsip serta penggabungan kerjasama bersifat universal dan boleh diterima secara harmoni oleh Bangsa Johor.
Perikatan Nasional turut menerima banyak maklum balas termasuk keluhan rakyat yang mengalami kebosanan dan kelesuan politik berikutan tindak-tanduk pemimpin UMNO tertentu sehingga mereka begitu bertekad mahu menamatkan kehidupan era kerajaan parti tersebut.
Pada masa sama, Perikatan Nasional menasihatkan ahli-ahli dan barisan kepemimpinan semua peringkat parti komponen supaya jangan berpaling tadah semata-mata kerana hal remeh seperti tidak puas hati atau tidak dicalonkan dalam PRN, tanpa menghiraukan kesan jangka panjang kepada keperibadian mereka.
Adalah suatu yang merugikan jika seseorang ahli keluar parti kerana hal remeh sedangkan mereka sebenarnya bersekongkol dan tanpa disedari menggadai maruah untuk menjadi sebahagian daripada pihak yang telah merosakkan sejarah politik negara serta memalukan Malaysia di seluruh dunia.
Musuh sebenar yang dihadapi Perikatan Nasional bukan sahaja parti lawan bahkan sifat-sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin UMNO yang ternyata telah merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara.
Justeru, Perikatan Nasional berharap jangan ada ahli dan pemimpin parti ini terpedaya dengan apa juga bentuk imbuhan keduniaan yang ditawarkan oleh kumpulan pecah integriti ini.
Setiap ahli Perikatan Nasional adalah pejuang yang mahu prinsip dan disiplin perjuangan ditunjukkan Pengerusi Perikatan Nasional itu diteruskan bagi memastikan pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara lebih baik menjadi realiti demi kesejahteraan rakyat mahupun kemajuan negara.
Mereka juga jangan mudah terpengaruh dakyah yang tersebar konon ada ahli Bersatu keluar parti kerana itu semata-mata cubaan permainan parti lawan untuk mengelirukan kita.
Ahli-ahli sebaliknya perlu melihat perkembangan apabila semakin ramai kelompok atas pagar, pengundi baharu dan Undi 18 menerima prinsip perjuangan berintegriti yang menjadi nilai teras kepada politik, tadbir urus serta semua urusan lain di seluruh dunia sekarang.
Mana-mana organisasi yang enggan melakukan pembaharuan prinsip, takut melaksanakan perubahan organisasi serta menafikan penerapan sistem nilai akan ditolak rakyat mahupun pasaran.
Jadi, saya memohon sokongan ahli parti dan seluruh Bangsa Johor untuk menyokong Perikatan Nasional yang sedang menerajui proses ini bagi membawa Johor menuju kehidupan era kemajuan yang gemilang, harmoni dan makmur.
Leave a Reply