SEORANG pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mempersoalkan mengapa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diberi layanan karpet merah sedangkan mereka belum lagi teruji.
Naib Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad turut menyifatkan Muda seperti budak manja, penakut dan tidak sukakan cabaran kerana mahu bertanding di kerusi boleh menang sahaja.
Kenyataan penuh beliau hari ini adalah seperti berikut:
Orang ramai tidak akan dapat ukur kekuatan sebenar yang ada pada Muda kalau parti itu sekadar tanding di kerusi mudah menang atau kerusi pasti menang pada PRU Negeri Johor-15.
Sangat relevan jika Muda diberi peluang tonjolkan kehebatan mereka dan terjemahkan populariti mereka di kerusi-kerusi sebelah pantai timur yang agak sukar seperti Penawar, Tanjung Surat, Tenggaroh, Sedili atau Johor Lama. Ini sedikit contoh, banyak lagi kerusi yang susah.
Waktu itu, barulah kita boleh lihat sejauh mana Muda boleh bertahan dalam dunia politik. Barulah kita boleh ukur kekuatan jentera mereka. Barulah kita boleh nilai sama ada betul atau tidak orang Johor kenal Muda.
Ya selama ini kita dengar mereka kuat di media sosial tapi belum tentu popular di dunia nyata terutamanya di mata orang Johor.
Muda sepatutnya selari dengan sifat yang ada pada namanya. Orang Muda sinonim dengan sifat berani, sukakan cabaran baru dan berasa yakin. Jadi, Muda kenalah yakin bahawa mereka boleh beri cabaran sengit atau menang di kerusi yang telah saya sebutkan tadi.
Tapi sayang, apa yang orang ramai nilai sekarang, Muda tak ubah seperti budak manja, penakut dan tidak sukakan cabaran apabila sekadar mengharap bertanding di kerusi-kerusi yang mudah menang atau kerusi yang ada potensi menang saja.
Belum apa-apa lagi kita dah bentang karpet merah untuk Muda. Saya pun hairan, apa istimewanya Muda sedangkan mereka belum teruji?
Maaflah, saya berbeza sedikit pandangan dengan rakan komponen dalam hal ini.
Leave a Reply