Oleh RAHIMI MOHAMAD
PENGUMUMAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini sudah dijelaskan secara rasmi.
Keenam-enam kerusi tersebut kini disandang wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO-Barisan Nasional (BN). Pasti ada strategi tertentu yang diletakkan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) hasil rundingan dibuat.
Tidak dinafikan kerusi-kerusi tersebut berada di kawasan luar bandar kecuali Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam Parlimen Tebrau di Johor Bahru dan DUN Bukit Permai di Parlimen Kulai.
Selebihnya empat kerusi lagi adalah DUN Bukit Kepong (Parlimen Pagoh), Tenang (Labis), Parit Raja (Sri Gading) dan Machap (Simpang Renggam).
Mengapa DAP dan Amanah memberi laluan kepada Muda di kerusi-kerusi tersebut juga pasti ada sebab musabab. Sedangkan kerusi Puteri Wangsa misalnya yang hampir pasti ditandingi calon Amanah setelah mereka berjaya ‘meyakinkan’ PKR untuk memberi laluan.
Orang paling kecewa apabila Amanah dengan mudah memberi kerusi itu kepada Muda ialah Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis yang sebelum ini namanya dipertaruhkan parti itu di Puteri Wangsa.
Tetapi atas kesepakatan dalam Pakatan Harapan (PH), PKR bersetuju calon Amanah boleh bertanding di kerusi yang memiliki 112,804 pengundi dalam PRN kali ini dan Napsiah juga seakan-akan ‘merajuk’ untuk tidak mahu bertanding lagi walaupun mendakwa ditawarkan kerusi lain.
Kini, setelah dengan rasmi Muda bertanding di situ, Napsiah yang memang membesar di Puteri Wangsa sekali lagi cuba berlapang dada kerana atas kesepakatan rakan lama dalam PH, beliau sudah mempersiapkan jentera untuk membantu calon Amanah tetapi kini sebaliknya berlaku.
‘Pergeseran’ Muda dengan PKR ini seperti belum berkesudahan nampaknya bermula dengan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tersalah ‘tembak rakan’ dalam PKR di DUN Tiram dengan tuduhan-tuduhan yang boleh tahan keras.
Kini, ketika mereka sudah selesai membahagikan kerusi dengan DAP dan Amanah, kesepakatan bersama PKR untuk rundingan tersebut belum selesai-selesai lagi walaupun PKR memaklumkan sudah menyediakan tiga kerusi kepada Muda.
Semalam, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, parti itu masih menunggu maklum balas daripada Muda berhubung tiga kerusi yang ditawarkan.
Selepas itu pada sebelah malam, Biro Politik Muda membalas menerusi kenyataan akhbar dengan menyatakan PKR belum lagi memberikan kata putus berkenaan tiga kerusi tersebut.
Mereka menyebut ‘Muda yakin dan percaya bahawa atas semangat kebersamaan dan demi rakyat Johor, satu rundingan yang telus dan jujur perlu dibuat’.
Menarik juga untuk ditafsir apakah maksud telus dan jujur yang perlu dilakukan seperti dikatakan Biro Politik Muda itu. Selain itu mereka mencadangkan pula agar setiap intipati rundingan diselesaikan bersama secara sulit sebelum diumumkan ke pihak media atas semangat ketelusan bersama.
Ketika isu kerusi hangat diperkatakan, Muda Kedah pula ‘cari pasal’ dengan PKR dan PH apabila memuat naik status mengenai ‘Jangan biarkan korupsi binasakan institusi negara’ yang memaparkan empat kartun yang turut mewakili BN dan Perikatan Nasional (PN).
Beberapa pemimpin PKR mula menyerang sikap Muda walaupun Ketua Penerangannya sudah mohon maaf dan bersedia mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan dengan apa-apa keputusan dan tindakan disiplin selepas mendapati posting itu juga tidak mendapat kebenaran selain sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.
Leave a Reply