SEORANG buruh warga asing maut selepas digilis sebuah lori di sebuah tapak pembinaan di Kuala Langat pukul 12.30 tengah hari semalam.
Buruh kasar warga Bangladesh itu mengalami kesan parah di kepala semasa lori berkenaan sedang melakukan kerja-kerja mengangkut tanah.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori sedang mengundurkan kenderaan itu untuk membuang tanah di kawasan pembinaan berkenaan.
“Apabila selesai membuang tanah, pemandu terbabit keluar dari lori dipandunya untuk melihat tanah yang dibuang itu.
“Semasa pemandu lori ke hadapan lori, dia nampak pekerja buruk kasar itu terbaring dalam keadaan parah di kepala dan anggota badan akibat digilis oleh tayar lori dipandunya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berumur 42 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan berkenaan.
Katanya, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
“Mereka boleh juga menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222,” katanya.
Leave a Reply