Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
KES harian Covid-19 di Pahang meningkat secara mendadak kerana disebabkan berlakunya jangkitan varian Omicron di negeri itu.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus, semalam sebanyak 26 kes jangkitan varian Omicron telah dikesan di negeri itu, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, jika sebelum ini Pahang hanya merekodkan kes harian kurang daripada 200 kes, namun angka yang direkodkan semalam melonjak kepada 739 kes.
Beliau berkata, jangkitan Omicron tidak boleh dihentikan kerana ia sudah meluas berada dalam komuniti, namun mampu di perlahankan transmisinya supaya tidak terlalu parah.
Bagaimanapun Katanya, membiarkan lonjakan kes berterusan tanpa sebarang tindakan, semata-mata mengharapkan natural imuniti tidak sepatutnya berlaku.
Ini kerana katanya, masih ada kumpulan berisiko mendapat jangkitan yang teruk, khususnya warga emas dan mereka yang belum divaksin.
“Walaupun majoriti kes berada dalam kategori satu dan dua, namun sekiranya berlaku lonjakan kes secara berterusan, kes kategori tiga hingga lima juga akan meningkat.
“Jika ini berlaku sudah pasti penggunaan katil di hospital dan katil Unit Rawatan Rapi ( ICU ) akan bertambah. Selama mana perkhidmatan hospital mampu bertahan kerana kita sendiri tidak pasti sampai bila gelombang berlaku,” katanya dalam satu hantaran menerusi halaman Facebook JKNP, hari ini.
Sehubungan itu ujar Dr. Nor Azimi, orang ramai tidak boleh mengharapkan keajaiban akan berlaku tanpa berbuat apa-apa sebaliknya perlu berikhtiar dan berusaha untuk menghalangnya.
Tambah beliau, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah kaedah terbaik namun langkah itu kini seakan dipandang remeh.
Menurut beliau, tidak ada kaedah terbaik untuk perlahankan transmisi ini melainkan pengambilan vaksin dan dos penggalak bagi mengurangkan risiko keterukan dan komplikasi seperti kematian.
Katanya, kawalan kendiri juga penting termasuk membuat ujian bagi yang bergejala dan jangan ke mana-mana.
“Malangnya, kita dapati ada individu bergejala masih pulang ke kampung dan melancong, apabila mereka didapati positif, ramai akan berisiko dijangkiti,” ujar beliau.
Leave a Reply