Oleh RAHIMI MOHAMAD
SPEKULASI empat Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor yang dikatakan akan keluar meninggalkan parti itu termasuk melibatkan Ketua Penerangan Bersatu negeri, Mohd Solihan Badri tidak benar.
Mohd Solihan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ledang menafikan desas-desus itu yang disifatkan hanya mahu memberi gambaran negatif terhadap parti berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
“Saya yang set parti ini (Bersatu) di Johor dan (saya) masih setia dengan Bersatu,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Sejak kelmarin, tersebar di media sosial mengaitkan empat ketua bahagian parti itu akan keluar Bersatu pada minggu hadapan, namun khabar angin itu tidak disertakan nama mana-mana individu.
Bagaimanapun, ramai pihak mengaitkan Mohd Solihan antara salah seorang daripada mereka yang mahu mengikuti jejak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.
Selain itu, antara pimpinan lain yang menerajui bahagian Bersatu ketika ini adalah bekas ADUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi sebagai Ketua Bahagian Bersatu Kulai dan bekas ADUN Sedili, Rasman Ithnain selaku Ketua Bahagian Bersatu Kota Tinggi.
Terdahulu, dua kepimpinan Bersatu negeri ini bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.
Mereka adalah bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad.
Kedua-dua membuat keputusan keluar parti serta merta selepas mengakui kononnya tidak lagi mempercayai kepemimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan hala tuju parti.
Leave a Reply